Tuesday, 21 November 2017

IKLAN TEKNOLOGI ALPHA


KOLEJ TEKNOLOGI ALPHA HARAPAN BANGSA MERDEKA

KOLEJ TEKNOLOGI ALPHA HARAPAN BANGSA MERDEKA
Oleh: Norizzati binti Ramle

SEJAK penubuhannya, Kolej Teknologi Alpha (KTA) telah menjadi sebuah institusi pendidikan yang mewakili harapan bangsa yang merdeka dan negara yang berdaulat. Kolej yang ditubuhkan seabad yang lalu ini terus kekal memainkan peranannya sebagai pusat keilmuan mewakili peradaban Malaysia disamping tidak luntur dalam mempertahankan bahasa Melayu.
Tempoh 10 tahun mungkin agak singkat berbanding universiti terkemuka dunia lain seperti Oxford dan Harvard yang telah mencecah ratusan tahun namun KTA memiliki tempatnya tersendiri di atas peranannya dalam menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Bagi Ketua Eksekutif KTA, Dr. Hamzaid bin Yahya, KTA mengimbangi dua peranan yang begitu penting iaitu untuk menjadi sebuah institusi keintelektualan serta kesarjanaan yang bertaraf dunia, dan pada masa yang sama, mewakili semangat kebangsaan untuk memajukan negara.
Tegasnya, KTA tidak berganjak daripada aspirasinya sebagai "Pendaulat Amanah Negara" kerana tanggungjawab yang diberikan adalah untuk menjadi gedung keilmuan yang melahirkan modal insan kepada negara.
“Penubuhan KTA memenuhi impian dan hasrat negara, impian daripada masyarakat segenap lapisan tidak kira daripada ceruk kampung sehinggalah pimpinan negara yang mengharapkan sebuah kolej terbina untuk sandaran negara dan memiliki semangat kebangsaan.
“Dalam masa yang sama, sebagai sebuah universiti swasta, sifat keintelektualan dan kesarjanaan ini perlu dibuktikan, perkara ini tiada sempadan kebangsaan dan KTA perlu berusaha untuk menjadi setanding dengan universiti-universiti swasta terhebat di dunia,” ujarnya.
Dr. Hamzaid bin Yahya menyifatkan KTA telah lama melepasi tempoh remaja dan kini menuju ke arah kematangan menerusi pengalaman-pengalaman yang amat berharga dalam proses pembinaan negara.
Dalam memastikan KTA berada dalam landasan kecemerlangan, sebanyak enam Bidang Keberhasilan Utama telah digariskan oleh universiti itu merangkumi penghasilan graduan, penyelidikan, perkongsian pintar, pengurusan sumber manusia, penjanaan kekayaan serta pengurusan persekitaran ilmu yang kondusif. KTA tidak ketinggalan dalam program pengantarabangsaan yang mana pelbagai jaringan strategik telah dibentuk.
Dr. Hamzid bin Yahya berkata cabaran KTA untuk merentasi masa hadapan adalah cukup berbeza berbanding era penubuhannya memandangkan persaingan antara universiti-universiti semakin sengit. “Kalau zaman dahulu, menjadi graduan universiti sahaja sudah mencukupi tetapi permintaan industri masa kini adalah begitu tinggi, mereka mahukan graduan-graduan yang berkualiti, berinovasi, yang tahu kerja berpasukan dan berani mengambil risiko.
“Daripada segi penyelidikan pula, semua pihak bercakap mengenai impak penyelidikan, sekarang ini tidak cukup dengan hanya menghasilkan penerbitan, kita perlu memberitahu apa impaknya kepada masyarakat dan banyak mana pihak membuat rujukan,” katanya.
Dalam memantapkan lagi kualiti, KTA kini memastikan graduan-graduan yang dilahirkan bukan sahaja mempunyai keilmuan tinggi tetapi juga lengkap dengan kemahiran insaniah untuk berkomunikasi dan juga memimpin. Kecemerlangan KTA, menurut Dr. Hamzaid bin Yahya, adalah berteraskan kepada 3R iaitu relevant (berkaitan), reffered (dirujuk) dan respect (dihormati), yang mana universiti tidak sekadar menghasilkan graduan dan penyelidikan tetapi juga menjadi antara peneraju pertumbuhan negara.
Bermula daripada pengambilan sesi akan datang, KTA akan melakukan saringan tidak hanya meliputi keputusan peperiksaan para calon di atas kertas tetapi juga melakukan temuduga untuk memastikan kesungguhan para pelajar dalam meningkatkan lagi potensi diri. Beliau menambah, kejayaan KTA selama 10 tahun ini sememangnya boleh dinilai daripada alumni-alumni KTA yang cemerlang dalam bidang-bidang diceburi sekaligus menjadi “duta KTA”.
“Kita mahukan pelajar-pelajar yang membawa aspirasi kebangsaan dan faham tanggungjawab kepada negara, kecemerlangan adalah bukan untuk ukuran diri sendiri sebaliknya dinilai daripada apa yang disumbangkan kepada masyarakat. Alhamdulillah, saya berbangga apabila KTA berjaya melahirkan ramai pemimpin.
“Kita boleh lihat alumni KTA daripada kalangan menteri-menteri, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pegawai eksekutif serta para pengetua, ini adalah satu kepuasan untuk melihat bakat kepimpinan yang dilahirkan KTA serta kita berbangga dengan hasilnya,” katanya.
Dr. Hamzaid bin Yahya juga percaya alumni KTA kini mencecah lebih 2000 orang juga mampu memberi sumbangan sebagai jaringan industri serta berkongsi pengalaman dengan para graduan untuk maju ke hadapan.





 



CABARAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

CABARAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Pada 2017 lebih 200,000 siswazah berijazah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini masih gagal mendapatkan pekerjaan walaupun telah menamatkan pengajian masing-masing sejak 2015. Menurut statistik pada separuh tahun pertama 2015, sebanyak 3.8 peratus graduan menganggur sekali gus menjadikan kumpulan terbesar penganggur di Malaysia. Selain itu, negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan memperoleh kadar pengangguran yang tinggi di mana sebanyak 4.9% kadar pengangguran di Sabah, 5.3% di Sarawak  dan Wilayah Persekutuan Labuan memperoleh kadar pengguran paling tinggi iaitu sebanyak 5.6%. Tidakkah negara lain di dunia menghadapi situasi yang sama?
Akhbar The Austrialian melaporkan ijazah bukan lagi jaminan bagi mendapatkan pekerjaan. Kajian dari Graduate Careers Australia mendapati 41% majikan tidak berminat mengambil graduan dan 23% majikan hanya akan mengambil mereka yang benar-benar layak. Di Amerika Syarikat, graduan adalah penyumbang terbesar kepada pengangguran dan data menunjukkan 44% daripada graduan yang berusia 20-an terpaksa melakukan pekerjaan bergaji rendah. Namun kemelut ini sama sekali tidak mematahkan semangat ribuan pelajar yang melangkah masuk ke menara gading terutamanya pada Ogos dan September setiap tahun di negara kita. Berkelulusan tinggi adalah aset yang menjamin kehidupan lebih baik pada masa akan datang. Maka, apakah sebenarnya yang membayangi isu graduan menganggur ini?
Selain kelulusan akademik yang baik kebanyakan pihak majikan juga turut mengariskan kriteria seperti jujur, berintegriti mampu berkomunikasi dengan baik dan efektif dapat menyelesaikan tugas dengan baik dan berinovasi serta bermotivasi tinggi dan berani menyatakan pendapat. Terdengar juga rungutan majikan yang graduan tidak memperlihatkan nilai-nilai murni yang mungkin telah terhakis bersama arus ke­modenan kerana kurang diberi penekanan dalam pembelajaran. Jika ini yang dicari, bermakna pakej graduan merangkumi pelbagai kemahiran perlu lebih diberikan latihan yang lebih efektif untuk memenuhi keperluan pekerjaan di Malaysia
.
Menyedari kemelut yang dihadapi graduan kita, Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Negara atau Malaysian Education Blueprint (MEB) yang menyasarkan 10 lonjakan dilancarkan. Pelan ini melengkapi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan mengambil kira sistem pendidikan secara menyeluruh daripada peringkat awal sehingga pengajian tinggi. Salah satu daripada lonjakan dalam MEB adalah menghasilkan graduan yang seimbang. Sasaran ini tidak banyak berbeza dengan apa yang disasarkan oleh universiti di seluruh dunia, yang rata-rata me­rangkumkan kesemuanya sebagai kemahiran abad ke-21.
Universiti terkemuka dunia seperti Cambridge dan Oxford telah menyusun strategi pantas menyuburkan kemahiran abad ke-21. Kemahiran ini menjangkau sempadan pengetahuan bidang spesifik kepada kemahiran berbahasa asing, kemahiran memanfaatkan teknologi maklumat dan kemahiran diri seperti berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Kemahiran abad ke-21 menyasarkan penguasaan tiga jenis pengetahuan iaitu asas, meta dan humanistik. Penguasaan pengetahuan bidang pengajian serta bidang berkaitan amat penting di era ini. Contohnya, mendalami dan memanfaatkan teknologi maklumat dalam kejuruteraan adalah satu keperluan. University Cambridge meletakkan penguasaan teknologi maklumat sebagai satu kemahiran asas.
Pengetahuan meta atau dikenali ‘untuk bertindak’ memerlukan keupayaan untuk berfikir dan memberi respon yang sewajarnya dalam apa jua situasi. Kemahiran ini perlu diterap dan diperkukuh sepanjang siswa atau pelajar menimba ilmu bidang masing-masing. Untuk menjadikan masyarakat inovatif dan kreatif, mereka perlu diajar untuk berfikir inovatif dan kreatif. IPT boleh menyediakan suasana pembelajaran yang menjana kreativiti dan inovasi. Siswa perlu digalakkan menyelesaikan tugasan yang memerlukan pemikiran kritis. Mereka juga perlu disedarkan akan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat. Jika dihalusi, kemahiran abad ke-21 bukanlah perkara baharu di Malaysia. Domain pengetahuan kerangka kelayakan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah merangkumi sebahagian besar apa yang diperkatakan ini. Pelaksanaannya harus diperkemas agar IPT bukan sahaja menawarkan program yang diperlukan industri tetapi memastikan graduan yang dihasilkan akan menjadi rebutan industri.
Ahli akademik di IPT juga perlu melengkapi diri dengan kemahiran abad ke-21 bagi mempamerkan tahap kesarjanaan dan kedudukan mereka di menara gading. Intelek akademik perlu mendalami bidang masing-masing dan menyebar luas ilmu untuk dimanfaatkan bersama melalui pendekatan pedagogi yang efektif kepada pelajar, berkongsi dan memanfaatkan pengetahuan untuk masyarakat. Sebagaimana pelajar, ahli akademik perlulah versatile, lebih peka kepada isu yang membadai masyarakat serta dapat memberikan idea bernas dalam menyelesaikannya. Ini kerana kepada ahli akademik negara menyandar harapan untuk bersama membantu membangunkan kurikulum yang holistik dan bersepadu yang akan dapat melahirkan insan yang berguna selaras dengan apa yang disasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara. Institusi pengajian tinggi disarankan untuk menilai dan mengambil kira apa yang diperlukan oleh bakal majikan dalam menggubal kurikulum sesuatu program. Ini mencontohi universiti lain di dunia seperti Cambridge dan Oxford yang masih memberi perhatian kepada kehendak bakal majikan biarpun sistem pendidikan mereka sudah jauh ke hadapan.
Gandingan bersepadu industri, kurikulum yang mantap, sistem penyampaian yang baik dan disokong oleh pembuat polisi tentunya berupaya mewujudkan ekosistem yang dapat melahirkan graduan abad ke-21 yang lebih kompetitif dan berketrampilan.