Tuesday, 21 November 2017

PESTA TANGLUNG MENGERATKAN HUBUNGAN PELAJAR

PESTA TANGLUNG MENGERATKAN HUBUNGAN PELAJAR

S
EREMBAN, 10 Oktober – Semangat perpaduan terus disemarakkan lagi di Kolej Teknologi Alpha melalui penganjuran sambutan Pesta Tanglung kali ke-7 tahun ini. Ketua pengarah, Dr. Hamzaid bin Yahya telah merasmikan pesta Tanglung 2017, dan telah mengucapkan tahniah kepada Persatuan Cina Kolej Teknologi Alpha yang menyambut pesta tanglung di sini.
Dr. Hamzaid bin Yahya berkata, merayakan budaya tradisi ini bukan sahaja dapat mengekalkan kepercayaan kaum malahan dapat menyatukan etnik berbilang kaum di kolej ini. “Kita patut bersyukur kerana perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia berada di tahap yang paling baik dan ini merupakan satu petanda yang baik dalam pembinaan negara kerana adanya integrasi yang rapat antara kaum di setiap lapisan masyarakat.” Katanya.
Jelas beliau lagi, ciri-ciri kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat kita kini terbukti menjadi suatu kekuatan kepada negara Malaysia untuk terus membangun dan maju. Beliau juga turut berasa bangga kerana pelajar Kolej Teknologi Alpha juga bukan sahaja aktif dalam bidang peembelajaran malahan turut aktif dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan kebudayaan mereka. Beliau juga turut menzahirkan rasa berbangga kerana dapat bersama-sama meraikan Pesta Tanglung kali ke-7 Kolej Teknologi Alpha tahun ini.
Wakil persatuan Bahasa Cina, Tan Mei Yan pula berkata, Pesta Tanglung ini bertujuan untuk meningkatkan semangat satu Malaysia dan juga memperkenalkan ciri-ciri kebudayaan Tiong Hua kepada semua warga Kolej Teknologi Alpha serta mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan mahasiswi berlainan bangsa kerana budaya masing-masing dapat diketahui dan dihormati.
“Untuk sambutan Pesta Tanglung ini, kami menjemput kaum yang lain untuk menyertai aktiviti yang dijalankan dan kami dapati sambutan yang diterima amat menggalakkan. Tidak dinafikan bahawa aktiviti sebegini dapat memberi peluang kepada mahasiswa dan juga mahasiswi untuk menambah ilmu pengetahuan mereka di samping memupuk sifat kepimpinan dan mencungkil bakat yang ada pada diri sendiri,” kata Tan Mei Yan.
Tambahnya, mahasiswa dan juga mahasiswi Kolej Teknologi Alpha digalakkan untuk melibatkan diri dalam pelbagai jenis aktiviti supaya modal insan dapat diseimbangkan dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek dapat dizahirkan serta dapat melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi dalam dunia pekerjaan serta memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan berupaya menyumbang sesuatu yang berharga kepada kolej.
Menurut seorang pelajar bernama Nur Najihah binti Kamson, “ saya berasa program ini sangat bermanfaat kepada semua pelajar kerana pelajar diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menyambut pesta kebudayaan Kaum Cina, iaitu Pesta Tanglung. Tambahan pula, program ini sangat penting kerana para pelajar berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut.”
Pengarah Persatuan Bahasa Cina, Tan Yoo Lee menjelaskan, program ini adalah untuk mengembangkan dan memperkenalkan budaya masyarakat Cina dalam kalangan warga Kolej Teknologi Alpha. “Selain itu, program kebudayaan tahunan ini adalah untuk mengekalkan dan mempamerkan warisan dan kebudayaan Kaum Cina serta memupuk integrasi kaum di kalangan pelajar Kolej Teknologi Alpha melalui pemahaman budaya. Pesta ini juga dapat mengenali dan menghormati budaya kaum lain,”tambahnya.
Sambutan Pesta Tanglung tahun ini dimeriahkan lagi dengan pameran dan jualan makanan oleh mahasiswa dan mahasiswi Kolej Teknologi Alpha. Persembahan-persembahan daripada kelab-kelab dan pelajar Kolej Teknologi Alpha juga turut menarik perhatian termasuk nyanyian, tarian dan sebagainya.
Oleh hal yang demikian, dengan wujudnya program kebudayaan seperti ini, perkara sensitif yang melibatkan kaum tertentu juga dapat dielakkan dan rakyat pula tidak akan membangkitkan persoalan tersebut dan seterusnya dapat mengelakkan berlakunya pertelingkahan mahupun pertelagahan yang tidak diingini.













           



No comments:

Post a Comment