Monday, 20 November 2017

ISU PROFESSIONAL STANDARD PENGAJARAN

ISU PROFESSIONAL STANDARD PENGAJARAN
Oleh: Nur Shahrina bt Badrin Balarsundram
            Malaysia sedang behadapan dengan cabaran yang getir dalam usaha menyediakan sistem pendidikan berkualiti. Justeru, kerajaan mengambil langkah menggubal pelan pembangunan pendidikan bagi menyediakan kerangka pembangunan yang menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara mantap sehingga tahun 2025 (KPM, 2013). Sistem pendidikan masa kini seringkali menjadi bahan perdebatan banyak pihak dari segi kemampuannya dalam menyediakan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai nilai murni menjelang abad ke-21.
            Antara salah satu faktor yang menyumbang kepada sistem pendidikan yang berkualiti ialah penghasilan guru yang berkualiti. Guru yang berkualiti memainkan peranan yang penting dalam membentuk satu organisasi sekolah yang teratur dan berkesan bagi melahirkan insan yang berkualiti dan mampu membawa perubahan pada negara di masa akan datang. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2014 menegaskan isu kualiti guru harus ditanganu bagi mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MPPM) yang menyasarkan negara berada dalam kelompok satu pertiga sistem pendidikan terbaik dunia. Justeru, semua institusi pendidikan guru perlu proaktif dalam menghasilkan guru-guru yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan pedagogi, tetapi juga keghairahan dan kesungguhan tinggi dalam memastikan bangsa kita mampu bersaing dan berjaya di peringkat global.
            Namun, timbul beberapa isu yang telah menjadi asbab kepada kemerosotan kualiti guru di abad ini. Isu yang selalu dibangkitkan melibatkan kualiti guru ialah kewujudan guru luar bidang atau guru bukan opsyen. Guru luar bidang atau guru bukan opsyen merupakan guru yang tidak mempunyai sijil atau major dalam mata pelajaran yang diajar. Guru tersebut dikehendaki mengajar mata pelajaran lain yang bukan daripada bidang setelah mereka mendapat penempatan. Penempatan mereka bergantung kepada kekosongan guru subjek yang terlibat.

            Terdapat kajian dari luar negara dan juga di Malaysia mengenai isu guru luar bidang ini. Berdasarkan kajian di luar negara, menurut Ingersoll (2001) iaitu guru terutamanya yang mengajar di sekolah menegah hendaklah mempunyai latar belakang pendidikan dan latihan dalam mata pelajaran yang mereka ajar di sekolah. Setiap guru perlu mengajar bidang yang mereka pakar untuk menyampaikan pengetahuan dalam bidang tersebut dengan sepenuuhnya serta dapat mencapai matlamat dengan berkesan. Bagi kajian di Malaysia pula, didapati MAtematik adalah mata pelajarna teras dalam kurikulum sekolah menegah yang diajar oleh guru pelbagai bidang. Kadar ketidakseimbangan bidang yang tinggi dibimbangi akan mempengaruhi dan memberikan kesan secara langsung terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
            Isu guru luar bidang timbul disebabkan oleh beberapa faktor yang masih belum ada jalan penyelesaiannya. Anatara puncanya ialah kekurangan guru subjek di sekolah disebabkan guru bercuti tanpa gaji, sakit, atau cuti bersalin. Jadi, jalan penyelesaian yang selalu diambil oleh pentadbiran sekolah ialah dengan menggantikan kekosongan tempat guru tersebut dengan guru lain yang bukan opsyen terutamanya guru baru. Kes ini biasanya terjadi disebabkan oleh pentadbiran sekolah yang tidak dipantau mengakibatkan kebanyakan sekolah mengambil tindakan sambil lewa berikutan isu tersebut. Selain itu, berlaku masalah kekurangan guru di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar menybabkan guru bukan opsyen terpaksa mengajar subjek di luar bidang mereka bagi mnegisi kekosongan tersebut.
            Tindakan sambil lewa ini membawa kesan kepada guru serta pelajar itu sendiri. Guru bukan opsyen biasanya mengalami masalah untuk mengajar subjek yang bukan bidang mereka. Mereka tidak dapat mengajar dengan sebaiknya serta mempunyai masalah menyampaikan ilmu pengetahuan dengan berkesan dan sepenuhnya. Guru juga akan lebih tertekan untuk berada di sekolah memandangkan beban kerja mereka semakin bertambah kerana mereka terpaksa belajar subjek yang bukan bidnag mereka dan menganggap ia sebagai satu bebanan tugas bukannya sebagai satu tanggungjawab. Guru akan menjadi malas untuk belajar megenai subjek yang bukan opsyen dan mengajar pelajar denganpengetahuan sedia ada sahaja tanpa menjana idea pelajar. Justeru, ia membuktikan guru kurang berkeyakinan, kompetensi dan komited dalam pengajaran.
            Bagi kesan terhadap pelajar pula, guru tidak menggunakan kaedah pengajaran yang dapat menarik minat pelajar seterusnya menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran membosankan. Tambahan pula, guru tidak yakin dengan pengajaran yang disampaikan menyebabkan pelajar merasa tidak yakin dengan pengajaran yang disampaikan oleh guru tersebut. Sesetengah guru yang mengajar subjek bukan bidnag tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh pelajar dengan memberikan alasan akan menjawab pada waktu lain atau menyatakan bahawa soalan yang dikemukakan oleh pelajar tersebut tidak penting. Alasan-alasan ini menyebabkan pelajar hilang semangat untuk belajar. Hal ini seterusnya akan melibatkan prestasi pelajar dalam subjek tertentu yang mengakibatkan keputusan peperiksaan pelajar tidak memuaskan.
            Kesimpulannya, isu guru luar bidang ini membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan dalam institusi pendidikan di Malaysia. Sekiranya hal ini tidak dipantau dan diselesaikan, ramai guru yang akur untuk mengajar subjek bukan opsyen kerana mereka terikat dengan jolokan “Saya yang menurut perintah”. Walaupun guru tersebut boleh mengisi kekosongan dan keperluan mata pelajaran itu, tetapi mungkin gagal menyampaikan sesuatu ilmu itu dengan berkesan.







No comments:

Post a Comment