CABARAN INSTITUSI
PENGAJIAN TINGGI
Pada 2017
lebih 200,000 siswazah berijazah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini
masih gagal mendapatkan pekerjaan walaupun telah menamatkan pengajian
masing-masing sejak 2015. Menurut statistik pada separuh tahun pertama 2015,
sebanyak 3.8 peratus graduan menganggur sekali gus menjadikan kumpulan terbesar
penganggur di Malaysia. Selain itu, negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah
Persekutuan Labuan memperoleh kadar pengangguran yang tinggi di mana sebanyak 4.9%
kadar pengangguran di Sabah, 5.3% di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan memperoleh
kadar pengguran paling tinggi iaitu sebanyak 5.6%. Tidakkah negara lain di
dunia menghadapi situasi yang sama?
Akhbar
The Austrialian melaporkan ijazah bukan lagi jaminan bagi mendapatkan
pekerjaan. Kajian dari Graduate Careers Australia mendapati 41% majikan tidak
berminat mengambil graduan dan 23% majikan hanya akan mengambil mereka yang
benar-benar layak. Di Amerika Syarikat, graduan adalah penyumbang terbesar
kepada pengangguran dan data menunjukkan 44% daripada graduan yang berusia
20-an terpaksa melakukan pekerjaan bergaji rendah. Namun kemelut ini sama
sekali tidak mematahkan semangat ribuan pelajar yang melangkah masuk ke menara
gading terutamanya pada Ogos dan September setiap tahun di negara kita.
Berkelulusan tinggi adalah aset yang menjamin kehidupan lebih baik pada masa
akan datang. Maka, apakah sebenarnya yang membayangi isu graduan menganggur
ini?
Selain
kelulusan akademik yang baik kebanyakan pihak majikan juga turut mengariskan
kriteria seperti jujur, berintegriti mampu berkomunikasi dengan baik dan
efektif dapat menyelesaikan tugas dengan baik dan berinovasi serta bermotivasi
tinggi dan berani menyatakan pendapat. Terdengar juga rungutan majikan yang
graduan tidak memperlihatkan nilai-nilai murni yang mungkin telah terhakis
bersama arus kemodenan kerana kurang diberi penekanan dalam pembelajaran. Jika
ini yang dicari, bermakna pakej graduan merangkumi pelbagai kemahiran perlu
lebih diberikan latihan yang lebih efektif untuk memenuhi keperluan pekerjaan
di Malaysia
.
Menyedari
kemelut yang dihadapi graduan kita, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara atau
Malaysian Education Blueprint (MEB) yang menyasarkan 10 lonjakan dilancarkan.
Pelan ini melengkapi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan
mengambil kira sistem pendidikan secara menyeluruh daripada peringkat awal
sehingga pengajian tinggi. Salah satu daripada lonjakan dalam MEB adalah
menghasilkan graduan yang seimbang. Sasaran ini tidak banyak berbeza dengan apa
yang disasarkan oleh universiti di seluruh dunia, yang rata-rata merangkumkan
kesemuanya sebagai kemahiran abad ke-21.
Universiti
terkemuka dunia seperti Cambridge dan Oxford telah menyusun strategi pantas
menyuburkan kemahiran abad ke-21. Kemahiran ini menjangkau sempadan pengetahuan
bidang spesifik kepada kemahiran berbahasa asing, kemahiran memanfaatkan
teknologi maklumat dan kemahiran diri seperti berkomunikasi dan menyelesaikan
masalah. Kemahiran abad ke-21 menyasarkan penguasaan tiga jenis pengetahuan
iaitu asas, meta dan humanistik. Penguasaan pengetahuan bidang pengajian serta
bidang berkaitan amat penting di era ini. Contohnya, mendalami dan memanfaatkan
teknologi maklumat dalam kejuruteraan adalah satu keperluan. University Cambridge
meletakkan penguasaan teknologi maklumat sebagai satu kemahiran asas.
Pengetahuan
meta atau dikenali ‘untuk bertindak’ memerlukan keupayaan untuk berfikir dan
memberi respon yang sewajarnya dalam apa jua situasi. Kemahiran ini perlu
diterap dan diperkukuh sepanjang siswa atau pelajar menimba ilmu bidang
masing-masing. Untuk menjadikan masyarakat inovatif dan kreatif, mereka perlu
diajar untuk berfikir inovatif dan kreatif. IPT boleh menyediakan suasana
pembelajaran yang menjana kreativiti dan inovasi. Siswa perlu digalakkan
menyelesaikan tugasan yang memerlukan pemikiran kritis. Mereka juga perlu
disedarkan akan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat. Jika dihalusi,
kemahiran abad ke-21 bukanlah perkara baharu di Malaysia. Domain pengetahuan
kerangka kelayakan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah merangkumi
sebahagian besar apa yang diperkatakan ini. Pelaksanaannya harus diperkemas
agar IPT bukan sahaja menawarkan program yang diperlukan industri tetapi
memastikan graduan yang dihasilkan akan menjadi rebutan industri.
Ahli
akademik di IPT juga perlu melengkapi diri dengan kemahiran abad ke-21 bagi
mempamerkan tahap kesarjanaan dan kedudukan mereka di menara gading. Intelek
akademik perlu mendalami bidang masing-masing dan menyebar luas ilmu untuk
dimanfaatkan bersama melalui pendekatan pedagogi yang efektif kepada pelajar,
berkongsi dan memanfaatkan pengetahuan untuk masyarakat. Sebagaimana pelajar,
ahli akademik perlulah versatile, lebih peka kepada isu yang membadai
masyarakat serta dapat memberikan idea bernas dalam menyelesaikannya. Ini
kerana kepada ahli akademik negara menyandar harapan untuk bersama membantu
membangunkan kurikulum yang holistik dan bersepadu yang akan dapat melahirkan
insan yang berguna selaras dengan apa yang disasarkan Pelan Pembangunan
Pendidikan Negara. Institusi pengajian tinggi disarankan untuk menilai dan
mengambil kira apa yang diperlukan oleh bakal majikan dalam menggubal kurikulum
sesuatu program. Ini mencontohi universiti lain di dunia seperti Cambridge dan
Oxford yang masih memberi perhatian kepada kehendak bakal majikan biarpun
sistem pendidikan mereka sudah jauh ke hadapan.
Gandingan
bersepadu industri, kurikulum yang mantap, sistem penyampaian yang baik dan
disokong oleh pembuat polisi tentunya berupaya mewujudkan ekosistem yang dapat
melahirkan graduan abad ke-21 yang lebih kompetitif dan berketrampilan.
No comments:
Post a Comment