KOLEJ
TEKNOLOGI ALPHA HARAPAN BANGSA MERDEKA
Oleh:
Norizzati binti Ramle
SEJAK penubuhannya, Kolej Teknologi Alpha (KTA) telah
menjadi sebuah institusi pendidikan yang mewakili harapan bangsa yang merdeka
dan negara yang berdaulat. Kolej yang ditubuhkan seabad yang lalu ini terus
kekal memainkan peranannya sebagai pusat keilmuan mewakili peradaban Malaysia
disamping tidak luntur dalam mempertahankan bahasa Melayu.
Tempoh 10 tahun mungkin agak singkat berbanding
universiti terkemuka dunia lain seperti Oxford dan Harvard yang telah mencecah
ratusan tahun namun KTA memiliki tempatnya tersendiri di atas peranannya dalam
menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Bagi Ketua Eksekutif KTA, Dr. Hamzaid
bin Yahya, KTA mengimbangi dua peranan yang begitu penting iaitu untuk menjadi
sebuah institusi keintelektualan serta kesarjanaan yang bertaraf dunia, dan
pada masa yang sama, mewakili semangat kebangsaan untuk memajukan negara.
Tegasnya, KTA tidak berganjak daripada aspirasinya
sebagai "Pendaulat Amanah Negara" kerana tanggungjawab yang diberikan
adalah untuk menjadi gedung keilmuan yang melahirkan modal insan kepada negara.
“Penubuhan KTA memenuhi impian dan hasrat negara, impian
daripada masyarakat segenap lapisan tidak kira daripada ceruk kampung
sehinggalah pimpinan negara yang mengharapkan sebuah kolej terbina untuk
sandaran negara dan memiliki semangat kebangsaan.
“Dalam masa yang sama, sebagai sebuah universiti swasta,
sifat keintelektualan dan kesarjanaan ini perlu dibuktikan, perkara ini tiada
sempadan kebangsaan dan KTA perlu berusaha untuk menjadi setanding dengan
universiti-universiti swasta terhebat di dunia,” ujarnya.
Dr. Hamzaid bin Yahya menyifatkan KTA telah lama melepasi
tempoh remaja dan kini menuju ke arah kematangan menerusi pengalaman-pengalaman
yang amat berharga dalam proses pembinaan negara.
Dalam memastikan KTA berada dalam landasan kecemerlangan,
sebanyak enam Bidang Keberhasilan Utama telah digariskan oleh universiti itu
merangkumi penghasilan graduan, penyelidikan, perkongsian pintar, pengurusan
sumber manusia, penjanaan kekayaan serta pengurusan persekitaran ilmu yang
kondusif. KTA tidak ketinggalan dalam program pengantarabangsaan yang mana
pelbagai jaringan strategik telah dibentuk.
Dr. Hamzid bin Yahya berkata cabaran KTA untuk merentasi
masa hadapan adalah cukup berbeza berbanding era penubuhannya memandangkan
persaingan antara universiti-universiti semakin sengit. “Kalau zaman dahulu,
menjadi graduan universiti sahaja sudah mencukupi tetapi permintaan industri
masa kini adalah begitu tinggi, mereka mahukan graduan-graduan yang berkualiti,
berinovasi, yang tahu kerja berpasukan dan berani mengambil risiko.
“Daripada segi penyelidikan pula, semua pihak bercakap
mengenai impak penyelidikan, sekarang ini tidak cukup dengan hanya menghasilkan
penerbitan, kita perlu memberitahu apa impaknya kepada masyarakat dan banyak
mana pihak membuat rujukan,” katanya.
Dalam memantapkan lagi kualiti, KTA kini memastikan
graduan-graduan yang dilahirkan bukan sahaja mempunyai keilmuan tinggi tetapi
juga lengkap dengan kemahiran insaniah untuk berkomunikasi dan juga memimpin.
Kecemerlangan KTA, menurut Dr. Hamzaid bin Yahya, adalah berteraskan kepada 3R
iaitu relevant (berkaitan), reffered (dirujuk) dan respect (dihormati), yang
mana universiti tidak sekadar menghasilkan graduan dan penyelidikan tetapi juga
menjadi antara peneraju pertumbuhan negara.
Bermula daripada pengambilan sesi akan datang, KTA akan
melakukan saringan tidak hanya meliputi keputusan peperiksaan para calon di
atas kertas tetapi juga melakukan temuduga untuk memastikan kesungguhan para
pelajar dalam meningkatkan lagi potensi diri. Beliau menambah, kejayaan KTA
selama 10 tahun ini sememangnya boleh dinilai daripada alumni-alumni KTA yang
cemerlang dalam bidang-bidang diceburi sekaligus menjadi “duta KTA”.
“Kita mahukan pelajar-pelajar yang membawa aspirasi
kebangsaan dan faham tanggungjawab kepada negara, kecemerlangan adalah bukan
untuk ukuran diri sendiri sebaliknya dinilai daripada apa yang disumbangkan
kepada masyarakat. Alhamdulillah, saya berbangga apabila KTA berjaya melahirkan
ramai pemimpin.
“Kita boleh lihat alumni KTA daripada kalangan
menteri-menteri, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pegawai eksekutif serta para
pengetua, ini adalah satu kepuasan untuk melihat bakat kepimpinan yang
dilahirkan KTA serta kita berbangga dengan hasilnya,” katanya.
Dr. Hamzaid bin Yahya juga percaya alumni KTA kini
mencecah lebih 2000 orang juga mampu memberi sumbangan sebagai jaringan
industri serta berkongsi pengalaman dengan para graduan untuk maju ke hadapan.
No comments:
Post a Comment